Kubuka jendela pagi dan dosa pun menghampiri
Suara jerit hati kuingkari
Nafsu jiwa yang membuncah
Menutupi mata hati
Seperti terlupa bahwa nafaskan terhenti
Suara jerit hati kuingkari
Nafsu jiwa yang membuncah
Menutupi mata hati
Seperti terlupa bahwa nafaskan terhenti
Selalu
sahaja kita dianjurkan untuk beristighfar jika melakukan sesuatu
kesalahan. Cukuplah sekadar lafaz Astaghfirullah, dan kemudian kita
melalui kehidupan seperti biasa. Itulah hakikatnya makna yang tersirat
istighfar bagi orang-orang yang lalai. Hanya sekadar lafaz tanpa
mendalami makna Istighfar tersebut. Ma maqna Istighfar? Yakni memohon
keampunan daripada Allah Azza Wajalla dan ia dilakukan bagi pembersihan
dari segala dosa dan kesalahan. Sesungguhnya, keampunan itu adalah untuk
memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang dilakukan.
Menurut segolongan ulama, “Setiap doa yang memohon keampunan Allah, maka ia adalah istighfar”Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
“Daripada
Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan
menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud)
Hadis di atas jelas nyata menunjukkan
tuhan memberi rahmat kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain
dari beristighfar dari melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling
cukup bermakna, untuk mengingatkan kita agar tidak terjebak dari
melakukan dosa. Sedangkan Nabi juga sentiasa beristighfar seperti dalam
hadis ini :
Ibnu
Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami
mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang
berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya
Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan oleh Imam Turmidzi)
Nabi yang maksum yang terpelihara dari
segala dosa pun sentiasa melafazkan taubat, sedangkan kita yang sukar
dari melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan
istighfar. Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima adalah
hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa
sulit tersebut.
Terdapat dua jenis musibah, yakni
musibah yang menguji benteng keimanan kita, atau musibah untuk memberi
balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan. Jika menguji benteng keimanan
kita, itu bermakna tuhan sayang kita, dan kepadaNya kita berserah,
memohon keredhaan. Kerana kita akan sentiasa di uji, tidak kira masa,
seperti mana firman Allah :
Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami
telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami
telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH
mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
siapakah orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut: 2-3)
Tetapi bagi Musibah azab, inilah yang
paling dahsyat, jika kita belum sempat bertaubat, maka yang menanti kita
di alam lain hanyalah seksaan dariNya. Tetapi bagi mereka yang sentiasa
beristighfar, Allah sama sekali tidak memberi musibah berbentuk azab,
seperti mana firmanNya:
“Dan
Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara
mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka
meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33).
Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.
“Maka
aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan
kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu,
mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat, ayat 10-12).
“Dan
orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri
sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan
siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak
meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi
mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai
dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136).
“Dan
hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya.
Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus)
kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)
Demikian telah jelas dan nyata, bahawa
dengan bertaubat, insyaAllah akan dikurniakan rahmat dariNya. Kita lihat
kembali hadis sebelum ini :
“Daripada
Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan
menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud).
InsyaAllah, makbul doa kita jika
sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. Untuk merungkaikan
kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah mengenai Ahmad bin
Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan
nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.
Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di
sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya
teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa
letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak
kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk
tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut
sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu
melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya
berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga
itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang pembuat roti ternampak kelakuan
antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan
situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk
bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia
terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat
rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si
pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.
Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si
pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab,
“Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara
sahaja belum lagi”.
Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal”
Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah
orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku
telah diseret untuk menuju kepadamu.”
Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah
memakbulkan doa si pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam
Ahmad. Berkat Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas,
tuhan telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan
Istighfar begitu besar buat kita, dan ikhlaskan hati kita untuk
beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha
Penyayang.
0 comments:
Posting Komentar